MOGADISHU: Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41,
terbunuh selepas ditembak ketika membuat liputan Misi Bantuan
Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan
Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri
dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini,
malam tadi. Allahyarham meninggal dunia jam 11.15 malam
tadi (jam 6.15 petang di Somalia) iaitu kira-kira sejam selepas
terkena tembakan curi dipercayai
dilepaskan kumpulan pemberontak.
Dalam kejadian serang hendap itu,
seorang jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan
turut dilaporkan cedera di
tangan terkena tembakan yang
dipercayai dilepaskan secara rambang.
Wartawan Harian Metro,
Mohamad Apendy Issahak ketika dihubungi
di Mogadishu lewat malam tadi memberitahu,
ketika kejadian
kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan,
Allahyarham bersama petugas media Malaysia
sedang dalam perjalanan pulang
ke hotel penginapan di sini selepas
melawat kem penempatan dalaman
(IDPs) Waveri, dekat sini. Seramai 53 lagi
anggota misi bantuan kemanusiaan
dari Malaysia termasuk petugas
media bagaimanapun terselamat dalam serangan itu
dan mereka kini dalam proses
pemindahan ke lokasi selamat.
Ketika kejadian kedua-dua mangsa
berada dalam kenderaan yang sedang menuju ke hotel.
Sementara itu, wartawan BernamaTV,
ANUAR YAHYA yang turut serta dalam misi itu berkata,
kejadian itu berlaku ketika
Noramfaizul bersama rakan media
elektronik yang sedang menaiki trak dalam
perjalanan ke sebuah
pusat komersial untuk menghantar laporan
berita apabila terkena tembakan curi
yang mengenai bahunya dan menembusi
paru-parunya.Mangsa yang dibawa
masuk ke dalam hotel sejurus
selepas kejadian, disahkan
meninggal dunia ketika
menerima rawatan pada jam
11.07 malam waktu Malaysia.
Khairulanuar berkata, tembakan itu
ditujukan kepada trak tentera kerajaan
yang mengiringi pasukan media Malaysia,
tetapi tersasar dan mengena
Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.
Misi berkenaan yang berlepas pada
28 Ogos dari Kuala Lumpur dijangka
pulang pada 8 September ini.
Wartawan Astro Awani Tan Su Lin
yang membuat liputan langsung di Astro
malam tadi memberitahu Aji Saregar
cedera ringan di bahu kanan
terkena serpihan peluru.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku
pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan
(Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia)
ketika mereka seramai enam orang
sedang menaiki pacuan empat roda dalam
perjalanan pulang ke tempat
penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari
sebelah kanan dan ada bau asap.
Saya tidak menyangka
kenderaan kami terkena tembakan apabila
menoleh ke belakang,
Aji dalam kesakitan dan
Faizul dalam keadaan pucat," katanya.
Noramfaizul meninggalkan seorang isteri
Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki,
Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.
Sementara itu, Norazrina,
yang sedang dalam perjalanan
balik dari Johor ke rumah
mentuanya di Serdang Raya, dekat sini,
terkejut dan sedih dengan
pemergian Allahyarham.
Norazrina berkata sebelum
suaminya berlepas ke Somalia,
Allahyarham berpesan supaya
menjaga diri dan anak mereka dengan baik.
"Dia turut berpesan dia pergi
kerana berkhidmat untuk negara
dan jangan bimbang dengan
keselamatan dirinya," kata
eksekutif perhubungan awam sebuah
agensi kerajaan di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Tan berkata mereka
pulang ke tempat
penginapan untuk berkemas
kerana dijangka pulang ke Malaysia
pada kira-kira 5.30 pagi
waktu tempatan hari ini.
Beliau berkata, ketua misi Datuk
Abdul Azeez Abdul Rahim,
yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia,
sedang berbincang dengan
pihak pengurusan untuk membawa balik
jenazah Allahyarham
bersama rombongan misi, hari ini.
sumber : metro
No comments:
Post a Comment