KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berjanji untuk terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu atas kapasiti sebagai pemimpin UMNO walaupun beliau tewas pada pilihan raya umum Ahad lalu. 

Katanya, beliau akan terus membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meneruskan agenda mendahulukan rakyat. 

Mengenai kemungkinan dilantik menyertai Kabinet, beliau berkata, jawatan menteri sepatutnya disandang oleh seorang Ahli Parlimen dan beliau tidak mahu pembangkang menggunakan isu kekalahannya untuk menghentam perdana menteri. 


Raja Nong Chik juga kesal keluarganya difitnah sepanjang kempen pilihan raya sebelum beliau tewas kepada Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 1,847 undi. 

"Pihak Nurul sebelum kempen sudah berjanji untuk tidak membuat serangan peribadi. Selepas mendapat tahu beliau menfitnah saya, saya membuat penjelasan di Malaysiakini tetapi akhbar itu yang kononnya adil tidak menyiarkan penjelasan saya," katanya kepada pemberita di pejabat BN Lembah Pantai, hari ini. 

"Sebagai contoh, Nurul mengaitkan tuduhan bahawa anak saya mendapat projek bernilai RM30 juta semasa saya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sedangkan projek itu sudah lama iaitu saya belum menjadi menteri lagi dan projek itu berada di bawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan," katanya. 

Menurutnya, sepanjang kempen, beliau tidak mengaitkan Nurul Izzah dengan apa-apa video yang bertebaran di dalam internet atau menyerang peribadi bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
"Saya lebih mengkritik sikap Nurul Izzah yang tidak pernah turun padang melawat rakyat, saya kritik caranya bekerja," katanya. - BERNAMA